Enakmen Rizab Melayu
LATARBELAKANG
Undang-undang Tanah Rizab Melayu (selepas ini ERM) mula
diperkenalkan pada 1 Januari 1914 apabila Enakmen Rizab Melayu 1913 (ERM 1913)
dikuatkuasakan di negeri-negeri yang dahulunya dikenali dengan nama
Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB) iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan
Pahang. Enakmen Rizab Melayu 1913 ini telah dimansuhkan mulai daripada
15.12.1933 dan digantikan dengan ERM 1933. Pada tahun 1935 ERM 1933 ini telah
disemak dan diterbitkan semula sebagai ERM (NMB Bab 142) dan digunakan hingga ke
hari ini.
Negeri-negeri lain kemudiannya turut mengwujudkan ERM mereka
masing-masing iaitu
ERM Kelantan 1930
ERM Kedah 1931
ERM Perlis 1935
ERM Johor 1936
ERM Terengganu 1941
British tidak mengadakan apa-apa ERM di Pulau Pinang,
Singapura dan Melaka.
OBJEKTIF RIZAB MELAYU
Terdapat dua objektif utama :-
Menyekat tanah kerajaan di dalam kawasan Rizab Melayu
daripada dilupuskan dengan apa cara juapun kepada bukan Melayu
Menyekat tanah Pegangan Melayu atau tanah Rizab Melayu
daripada dibuat apa-apa urusniaga persendirian (private dealings) di antara
Melayu dan bukan Melayu.
MATLAMAT
Dengan dua objektif itu adalah diharapkan tanah-tanah
kepunyaan Melayu akan berkekalan dikuasai oleh orang Melayu sepanjang zaman.
PENGISYTIHARAN
Kuasa Pengisytiharan
Di Negeri-negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang
di mana ERM (NMB Bab 142) dipakai, kuasa untuk membuat pengisytiharan terletak
pada Menteri Besar dengan kelulusan Raja Dalam Mesyuarat (RDM). Di Johor, PTG
dengan kelulusan RDM manakala di lain-lain negeri, RDM.
Tujuan Pengisytiharan
Untuk mewujudkan satu kawasan Rizab Melayu
Untuk membatalkan kawasan Rizab Melayu
Untuk meminda had atau sempadan mana-mana Rizab Melayu
Tanah yang boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu.
(1) Tanah Kerajaan
(2) Tanah Hutan Simpan
(3) Tanah Rizab Awam
(4) Tanah Milik
Tanah yang belum dimajukan (not developed) atau dicucuk
tanam (cultivated) sahaja yang boleh diisytiharkan sebagai kawasan Rizab
Melayu. [Perkara 89(2) Perlembagan Persekutuan]
Jika 100 hektar tanah kawasan baru diisytiharkan maka satu
kawasan lain yang belum dimajukan atau dicucuktanam seluas 100 hektar juga
hendaklah disediakan untuk diberimilik pada orang ramai termasuk Melayu.
[Perkara 89(2)Perlembagan Persekutuan]
Jika mana-mana kawasan Rizab Melayu itu dibatalkan sama ada
keseluruhan atau sebahagian daripadanya sahaja maka satu kawasan lain di dalam
negeri itu yang sama jenis (similar in character) dan sama luasnya dengan
kawasan yang dibatalkan itu hendaklah serta merta diisytiharkan sebagai ganti.
Tanpa gantian, pembatalan itu adalah tidak sah. [ Rujuk Perkara 89 (3)
Perlembagaan Persekutuan.
Mana-mana tanah yang dimiliki atau diduduki oleh orang bukan
Melayu, atau orang bukan Melayu mempunyai hak atau kepentingan, tidak boleh
diisytiharkan sebagai Rizab Melayu. [Rujuk Perkara 89(4) Perelembagan
Persekutuan.
Bagi maksud Enakmen Rizab Melayu Kedah, tanah bandar atau
tanah yang termasuk dalam kawasan “Sanitary Board” tidak boleh diisytiharkan
sebagai Rizab Melayu [Sek.3(1)ERM Kedah]
Dibawah Enakmen Rizab Melayu Terengganu pula hanya tanah
bandar atau tanah pekan sahaja yang boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu.
[Lihat tafsiran (d) ‘Malay Holding'].
Rizab Melayu Kekal Sebagai Rizab Melayu
Mana-mana kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Rizab
Melayu hendaklah kekal sebagai Rizab Melayu melainkan ianya diisytiharkan dan
diwartakan sebagai batal oleh pihak yang berkenaan.
Sumber: INSTUN